Peminat Barcelona membidas kualiti padang stadium Atletico Madrid dalam aksi separuh akhir Copa del Rey pada awal pagi Jumaat.
Ini kerana pada hemat mereka, kualiti padang yang kurang baik mengakibatkan bola melantun-lantun dan sukar dikawal pemain.
Hal ini disedari seorang peminat yang menggunakan nama LSPN_FC semasa menonton aksi kedua-dua pasukan itu.
“Macam mana padang ini dilabel bertaraf antarabangsa ialah sesuatu yang saya tidak faham,” katanya di X.
Seorang peminat lain bernama DoC_Culer turut senada dengan dia. Malah, pengulas perlawanan turut menyatakan perkara sama ketika mengulas perlawanan Atletico dan Barca.
“Malah, pengulas perlawanan juga menyebut perkara sama. Dan Griezman dan Koke turut menyuarakan kebimbangan mereka kepada pengurusan Atletico sebelum perlawanan,” ujarnya.
Isu padang turut menyebabkan Barcelona ketinggalan menerusi gol sendiri Eric Garcia pada babak pertama.
Apabila ada penyokong menyatakan isu padang hanyalah alasan semata-mata, seorang peminat bernama Preluca Emanuel kurang bersetuju. Isu padang dilihat turut menyumbang kepada gol berkenaan.
“Anda tak boleh salahkan penjaga gol, keadaan padang sukar dijangka. Satu saat ia melantun dan kemudiannya terkena batu,” katanya.
Aksi tersebut berkesudahan dengan kekalahan 4-0 Barca di tangan Atletico. Anak buah Hansi Flick perlu bangkit dalam aksi timbal balik di Camp Nou pada 4 Mac ini jika ingin mara ke final.