Bekas pemain beregu negara, Tan Boon Heong menafikan khidmatnya dirisik Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky memaklumkan ada lima atau enam nama yang dipertimbang badan induk itu sebagai pengganti jurulatih beregu negara, Tan Bin Shen.
Antara nama jurulatih tempatan yang dipertimbang BAM ialah Boon Heong, Koo Kien Kiat dan Lee Wan Wah.
“Jadi, kita lihat juga (latar belakang) mereka. Macam Tan Boon Heong, beliau mengendalikan akademi dan ada pengalaman. Koo Kien Kiat pula pernah bergelar beregu nombor satu dunia.
“Jadi, mereka dari segi pengalaman sudah tentu ada. Lee Wan Wah juga sekarang jadi jurulatih di Jepun. Ada beberapa nama yang kita bisa lihat,” katanya.
Apabila ditanya tentang hal berkenaan, Boon Heong mengakui terkejut dengan komen Rexy dan memaklumkan BAM tidak merisik khidmatnya.
“Tiada, saya tak dapat sebarang mesej. Langsung tak dapat. Saya pun terkejut bila nampak berita,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Sebelum ini, nama tiga jurulatih Indonesia iaitu Herry Iman Pierngadi, Paulus Firman dan Flandy Limpele turut dicanang sebagai pengganti Bin Shen.
Malaysia Open 2025 bakal menjadi tugasan terakhir beliau bersama kem badminton Malaysia. Ini kerana selepas ini, Bin Shen bakal bergandingan semula dengan Wong Choong Hann apabila menerima tawaran melatih beregu Hong Kong.