Kelab Thai League 1, BG Pathum United mencipta kejutan dengan menewaskan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund dalam aksi persahabatan pra-musim 2024/25.
Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada jelajah pra-musim BVB sempena ulang tahun penubuhan kelab ke-114. Meskipun berstatus pasukan gergasi, Chanathip Songkrasin melaungkan amaran bahawa The Rabbits bersedia mencabar Dortmund.
Pemain tengah Jerman, Julian Brandt diberi kepercayaan oleh Nuri Sahin untuk mengetuai BVB. Manakala Chanathip pula mengetuai cabaran BG Pathum.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal. The Rabbits menceriakan penyokong mereka apabila mendahului pada minit ke-15 menerusi Melvyn Lorenzen.
Lorenzen berjaya melepasi kawalan pertahanan Dortmund sebelum melepaskan rembatan yang melepasi jangkauan penjaga gol, Alexander Meyer.
BVB hampir menyamakan kedudukan menerusi pemain sayap, Karim Adeyemi pada minit ke-17. Malangnya, percubaannya tidak menepati sasaran.
Sebaliknya, peledak veteran Thailand, Teerasil Dangda menggandakan kelebihan BG Pathum pada minit ke-44. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan membuat beberapa pertukaran pemain untuk memberi peluang kepada pemain lain beraksi.
Sahin memanggil bekas penyerang West Ham United, Sebastian Haller sebagai pemain gantian dengan harapan dapat mengubah momentum perlawanan.
Malangnya, The Rabbits yang dibimbing Makoto Teguramori terus menghampakan usaha BVB mendapatkan gol. Sebaliknya, pemain sayap Jaroensak Wonggorn meledakkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-65.
Jaroensak memastikan Dortmund dibolosi lagi buat kali keempat menerusi rembatan kencang pada minit ke-88. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kekalahan ini menyaksikan anak buah Sahin membuka jelajah pra-musim Asia mereka dengan langkah kiri. Kini, fokus Dortmund seterusnya ialah aksi persahabatan di Jepun membabitkan kelab J1 League, Cerezo Osaka pada 24 Julai ini.