Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan tekad untuk membuktikan sesuatu apabila dipanggil pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon ke kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Pemain berusia 35 tahun itu akui bahawa Malaysia ketika ini miliki sebuah skuad yang mantap di segenap posisi. Persiapan awal akan membantu setiap pemain untuk kekal cergas dan mengukuhkan persefahaman dalam kalangan pemain.
“Kami ada banyak kerja untuk dibuat bagi melayakkan pasukan layak ke pusingan seterusnya. Ia bermula sekarang, untuk kekal bersedia kekal cergas.”
“Apa yang menariknya, jurulatih Oman sudah bertukar. Mereka pasti akan tampil berbeza, membawa taktikal baru dan itu yang akan menyukarkan kami.”
Brendan dalam pada itu tetap yakin dengan taktikal dan perancangan yang diterapkan kem kejurulatihan Harimau Malaya. Tambahnya lagi, kem latihan ini akan membantu Malaysia dalam melakukan persiapan yang mantap sebelum turun di gelanggang lawan.
“Kem latihan kali ini akan menjadi sangat panjang. Namun saya yakin setiap pemain sudah bersedia untuk menunjukkan sesuatu.”
Brendan sedar harapan rakyat Malaysia semakin tinggi selepas kempen Piala Asia 2023 tempoh hari, Malaysia berjaya ikat Korea Selatan.
Malaysia dijadual berdepan Oman untuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Khamis, 21 Mac 2024 di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat.
Perlawanan seterusnya menyaksikan Harimau Malaya sekali lagi akan menentang Oman untuk aksi keempat saingan Kumpulan D di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 26 Mac 2024.