Brendan Gan Terima Hakikat
Liga Super
Negeri Sembilan FC
Advertisements

Pemain tengah KL City FC, Brendan Gan tidak melatah apabila menjadi pemain pertama yang dilayangkan kad merah menerusi semakan sistem bantuan video pengadil (VAR) semalam.

Perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024 antara KL City dan Negeri Sembilan FC semalam menyaksikan beberapa insiden dikesan oleh VAR.

Salah satu daripadanya ialah insiden kekasaran membabitkan Brendan dan penyerang muda skuad Rusa, A. Selvan pada minit ke-74.

Advertisements

Pada awalnya, pengadil Zamzaidi Katimin hanya melayangkan kad kuning kepada pemain tengah Harimau Malaya itu.

Walau bagaimanapun, selepas menyemak semula insiden berkenaan di monitor atas nasihat VAR, Zamzaidi kemudiannya melayangkan kad merah kepada Brendan.

Pemain tengah berusia 35 tahun itu melihat insiden itu sebagai satu pengalaman pembelajaran buat semua pihak terutama para pemain dan pengadil.

Advertisements

Dan Brendan percaya proses VAR dijangka bertambah pantas dan bagus apabila semua pemegang taruh terutama pemain menyesuaikan diri dengan norma baru musim 2024/25.

“Saya fikir sudah pasti ada pro dan kontra tentangnya (VAR). Saya fikir debat ini sudah berlaku sejak sekian lama tentang VAR.

“Tapi saya yakin pengadil akan lebih efisien menggunakan VAR dan mengurangkan masa (menunggu) semasa semakan berjalan.

Advertisements

“Kerana saya rasakan (kelancaran) pergerakan itu hilang bila kita berdiri sekejap dan beri peluang kepada pihak lawan kembali bernafas apabila kita menyerang.

“Saya fikir akan ada detik di mana ia menjadi semakin bagus. Tapi seperti saya katakan, kita masih berada dalam pra-musim. Kita sebagai pemain dan pasukan juga akan bertambah baik.

“Seperti saya katakan, langkah kecil. Bagi mereka (pengadil), langkah kecil juga. Mereka juga akan jadi bagus selepas ini dan memberi kesan kepada perlawanan dengan cara yang baik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam untuk Nadi Arena.

Advertisements

Brendan merupakan antara pemain terbaru The City Boys untuk musim 2024/25. Meskipun dibuang padang, beliau membantu pasukan itu muncul juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024 semalam.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram