Stadium keramat Manchester United, Stadium Old Trafford kini menjadi bualan ramai apabila tersebar video serta gambar bumbung stadium termasuk bilik persalinan yang bocor akibat hujan lebat.
Keadaan itu terjadi selepas tamatnya aksi antara Manchester United melawan Arsenal yang menyaksikan The Gunners meraih kemenangan tipis 1-0 di Old Trafford.
Media sukan terkenal, Sky Sports telah berkongsikan bumbung stadium yang bocor sehinggakan air mencurah-curah seperti air terjun membanjiri kawasan tempat duduk penyokong.
Paip saliran dalam bumbung stadium tersebut mengalami kebocoran akibat hujan lebat sehingga air memenuhi kawasan tempat duduk bahagian Sir Alex Ferguson Stand.
Malah terdapat video yang menunjukkan bahagian siling di bilik persalinan pihak lawan turut mengalami kebocoran sehinggakan netizen berpendapat tahap fasiliti Manchester United uzur dan tidak profesional.
Sebelum ini telah terdapat laporan bahawa pemilik bersama United, Sir Jim Ratcliffe merancang untuk membina stadium baharu untuk pasukan Manchester United dan menggelarnya sebagai Wembley Utara.
Sir Jim Ratcliffe bercadang membina stadium berkapasiti 90,000 penonton yang bakal menelan £2 bilion bersamaan dengan RM11.9 bilion.
Stadium Old Trafford telah berusia lebih 100 tahun sejak dibuka pada tahun 1910 dan telah menjalani beberapa kali pengubahsuaian.