Bundesliga: Bayern Munich Tangguhkan Kejuaraan Bayer Leverkusen, Tundukkan FC Koln
Eropah
FC Bayern Munich
Advertisements

Kelab gergasi Jerman, Bayern Munich berjaya melewatkan pertabalan Bayer Leverkusen sebagai juara Bundesliga musim 2024/25 untuk tempoh 24 jam.

Ini selepas pasukan yang dibimbing Thomas Tuchel itu menundukkan pasukan kedua tercorot dalam liga, FC Koln.

Die Roten memerlukan kemenangan hari ini di Allianz Arena untuk cuba menangguhkan keraian kejuaraan Leverkusen yang dibimbing legenda Liverpool, Xabi Alonso.

Advertisements

Babak pertama menyaksikan tuan rumah berusaha menembusi gawang pelawat menerusi penyerang berbisa England, Harry Kane tetapi gagal.

Percubaan terbaik Bayern hadir pada minit ke-35 menerusi percubaan deras Kane. Malangnya, palang menjadi penghalang buat beliau merekodkan gol ke-33 dalam liga musim ini.

Ketumpulan jentera serangan Die Roten memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Advertisements

Bersambung pada babak kedua, Tuchel memasukkan Jamal Musiala menggantikan Kingsley Coman selepas pemain Perancis itu mengalami kecederaan.

Malangnya, gerakan serangan yang direncana tuan rumah kerap digagalkan penjaga gol pelawat, Marvin Schwabe.

Kekebalan Schwabe mengawal gawang Koln akhirnya roboh juga apabila Raphael Guerreiro meletakkan Die Roten di hadapan pada minit ke-65.

Advertisements

Gol tersebut memberi semangat kepada tuan rumah memburu gol tambahan. Thomas Muller memastikan Bayern pulang dengan tiga mata menerusi gol pada minit ke-93.

Joshua Kimmich dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini oleh Sofascore. Ini selepas tonggak utama Jerman itu merekodkan markah 8.5.

Keputusan ini bukan saja menangguhkan seketika keraian Leverkusen menjulang gelaran juara Bundesliga untuk musim 2024/25.

Advertisements

Malah, ini dilihat tonik semangat buat Bayern bila berdepan Arsenal untuk aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara UEFA (UCL) yang berlangsung pada 18 April ini.

Leverkusen perlu menang ke atas Werder Bremen esok sekiranya ingin mengesahkan kejuaraan Bundesliga buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram