Saifuddin Nasution Tegaskan Proses Naturalisasi 7 Pemain Sah
MakanBola
Facebook/Saifuddin Nasution Ismail

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Ismail Nasution menegaskan proses naturalisasi membabitkan tujuh pemain sah mengikut lunas undang-undang negara.

Hal ini dinyatakan beliau dalam program Townhall Madani yang berlangsung di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah (Merbok, Sungai Petani) pada 13 Oktober lalu.

Saifuddin menegaskan kesemua tujuh pemain terbabit telah memenuhi tiga syarat yang diperlukan untuk menjadi warganegara Malaysia. Tiga perkara itu ialah lulusan tapisan keselamatan, memiliki kefahaman mencukupi dalam Bahasa Malaysia dan cukup tempoh bermastautin.

Justeru, beliau menggunakan peruntukan kuasa yang diberi Perlembagaan Persekutuan sebagai Menteri Dalam Negeri untuk meluluskan permohonan naturalisasi mereka.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 20 (A) (C). Mesti ada sebab kenapa peruntukan itu ada. Jadi, saya gunakan (bidang kuasa yang diperuntukkan mengikut) Perkara 22 (A) (C). Saya guna pakai (mengikut budi bicara yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan).

“Jadi, (syarat permohonan iaitu) tapisan keselamatan, kefahaman mencukupi Bahasa Melayu dan tempoh bermastautin ini. Saya gunakan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, tiga perkara.

“Maka jawatankuasa di bawah KDN, daripada Setiausaha Pendaftaran pergi kepada Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan. Pergi kepada Ketua Setiausaha sampai kepada saya ini sampai lulus,” katanya.

Tujuh pemain tersebut ialah Hector Hevel, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal. Kesemua pemain ketika ini menjalani penggantungan yang ditetapkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Mereka dijangka kembali beraksi seperti biasa pada November ini. Meskipun begitu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan mereka tidak akan dibenarkan mewakili skuad kebangsaan.

Ab Ghani juga memaklumkan FAM dan KDN dijangka mengadakan pertemuan bagi membincangkan status tujuh pemain tersebut.