Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal duduk semeja dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kes tujuh pemain negara.
Perkara ini dikongsikan Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan apabila ditanya tentang langkah badan induk itu berhubung tujuh pemain berkenaan.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Ab Ghani memaklumkan FAM akan mengadakan pertemuan dengan KDN bagi mendapatkan kedudukan sebenar tentang tujuh pemain tersebut. Ini kerana isu membabitkan kewarganegaraan dan pasport bukan bidang kuasa FAM.
“Perkara berkaitan kewarganegaraan dan pengeluaran pasport adalah di luar bidang kuasa FAM.
“Jadi, kami semua akan mendapatkan penjelasan dan kerjasama rapat dengan KDN bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.
Ab Ghani turut menegaskan seandainya pemain-pemain ini dapat beraksi semula, mereka tidak akan dibenarkan kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Keputusan itu susulan ketetapan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak membenarkan ketujuh-tujuh pemain terbabit kembali beraksi bersama skuad negara.
“Tidak boleh. Pemain-pemain tersebut tak boleh mewakili negara. Pasal FIFA tak benarkan, FIFA tak benarkan,” tambahnya.
Sebelum ini, Ab Ghani mewakili FAM memohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak negara susulan kontroversi membabitkan tujuh pemain tersebut.
Beliau turut berjanji isu tersebut tidak akan dibenarkan berulang sepanjang tempohnya memikul peranan sebagai Presiden FAM.
Ketujuh-tujuh pemain dijangka kembali beraksi seperti biasa pada November ini selepas tempoh penggantungan mereka tamat.