Pengenalan jersi ketiga baru berwarna merah jambu untuk musim 2024/25 membawa tuah buat juara Thai League 1 musim lepas, Buriram United.
Jersi ini merupakan jersi ketiga pasukan selain jersi biru gelap dan kuning yang digunakan Buriram untuk saingan liga Thailand musim ini.
Jersi biru gelap digunakan bila mereka beraksi di laman sendiri. Sementara jersi berwarna kuning pula menjadi pilihan apabila beraksi di tempat lawan.
Penggunaan warna merah jambu pada jersi Thunder Castle bukan perkara baru. Ini kerana motif warna sama turut digunakan untuk jersi Buriram musim 2016.
Jersi ini boleh didapati pada harga 740 baht (RM94) dan pelbagai saiz dari JS hingga 4XL. Buriram turut menggunakan kapten, Theerathon Bunmathan dan tonggak Harimau Malaya, Dion Cools sebagai model jersi merah jambu tersebut.
Sejak diperkenalkan kepada penyokong pada 20 September lalu, Buriram mengumumkan lebih 29,000 jersi sudah terjual di pasaran. Ini membantu kelab berkenaan meraih nilai jualan hampir RM3 juta.
Jersi merah jambu ini digunakan buat kali pertama untuk aksi Thai League 1 antara Buriram dan PT Prachuap pada 22 September lalu.
Thunder Castle meraih kemenangan besar 6-0 di Chang Arena. Gol pasukan itu disumbang oleh Supachai Chaided, Pansa Hemviboon, Guilherme Bissoli, Theerathon, Jefferson Tabinas dan Chrigor.