Pengendali Buriram United, Mark Jackson yakin pasukan itu mampu meraih keputusan positif bila bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Shopee Cup.
Ini kerana pada hemat bekas jurulatih Central Coast Mariners (CCM) itu, kelebihan dilihat memihak kepada anak buahnya kerana dapat beraksi di tempat lawan terlebih dahulu.
Bila itu berlaku, ini memberi peluang kepada Buriram beraksi tanpa sebarang tekanan dan fokus mencari bekalan untuk aksi timbal balik nanti.
“Pada pendapat saya, kita sentiasa mendapat kelebihan bila bermain di gelanggang lawan terlebih dahulu. Kemudian, baru kita teruskan dalam aksi seterusnya (aksi timbal balik) di Buriram,” katanya dalam sidang media praperlawanan pada Selasa.
Meskipun Buriram memiliki rekod baik ke atas JDT dalam beberapa perlawanan sebelumnya, Jackson tetap menghormati anak buah Xisco Munoz itu.
Ini kerana selain memiliki ramai pemain berkualiti, Harimau Selatan juga memiliki kelebihan beraksi di stadium keramat mereka, Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Justeru, Jackson mahu anak buahnya tampil bersedia bagi membolehkan mereka meraih keputusan positif di SSI.
“Amat penting untuk kita sedar lawan kita satu pasukan yang kuat dan kita hormati mereka. Jadi, kita sudah lakukan persiapan untuk perlawanan ini termasuk di padang latihan juga.
“Tapi kita juga mencari satu keputusan yang bagus. Seperti perlawanan-perlawanan lain, kita juga yakin dengan keupayaan kita untuk meraih keputusan positif.
“Kita juga suka bermain secara menyerang, itu yang kita akan lakukan esok,” tambahnya lagi.
Aksi separuh akhir Shopee Cup bukan sekadar mencari kelebihan untuk aksi timbal balik bagi kedua-dua pasukan. Ini juga peluang buat JDT membalas dendam terhadap Buriram United.
Ini kerana JDT tumbang di tangan lawan sama dalam aksi Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2025/26.