Butiran Dari Arsenal, Josh Robinson Ada Salasilah Malaysia
MakanBola
Arsenal Academy

Butiran dari laman rasmi Arsenal FC menunjukkan bahawa pemain muda, Josh Robinson memiliki salasilah Malaysia.

Pemain berusia 22 tahun itu merupakan produk keluarkan Akademi Arsenal FC selepas menembus masuk ke dalam skuad B-18 The Gunners pada 1 Julai 2021.

Beliau menempa nama yang cukup gah selama empat tahun di sana sebelum akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan kerjaya profesional di Wigan Athletic.

Josh Robinson dalam satu temu bual bersama Arsenal FC menjelaskan bahawa beliau memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi belah ibunya.

“Saya membesar di kawasan Leyton di timur London. Bapa saya berasal dari Jamaica manakala ibu saya pula berdarah Malaysia dan Inggeris,” cerita Josh Robinson pada satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Arsenal FC.


Malah, pemain ini sendiri telah meletakkan bendera Malaysia dan Jamaica pada paparan media sosialnya – selaras dengan kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.

Beliau kini beraksi buat Kidderminster di National League South 2026 dan telah pun melakukan empat penampilan secara keseluruhan.

Robinson merupakan pemain versatil yang beraksi pada posisi pertahanan kanan dan juga merupakan bekas pemain kebangsaan England B-18.

Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung status pemain ini sama ada layak untuk mewakili Harimau Malaya atau tidak.