Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menempah tiket final BWF World Championships 2026.
Aaron-Wooi Yik yang juga beregu nombor empat dunia menyingkirkan juara bertahan dan pilihan utama kejohanan dari Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae di peringkat separuh akhir.
Aksi separuh akhir ini bukan saja peluang buat kedua-dua regu memburu tiket final. Malah, ini juga peluang buat Aaron-Wooi Yik membalas dendam terhadap beregu lelaki utama Korea Selatan itu.
Gandingan Won-ho-Seung-jae memadam impian bekas juara dunia 2022 itu untuk bergelar juara All England pada Mac lalu dengan keputusan 18-21, 21-12, 21-19.
Set pertama menyaksikan Aaron-Wooi Yik mempamerkan rentak cemerlang di atas gelanggang. Meskipun cuba diberi tentangan oleh Won-ho-Seung-jae, beregu negara mengungguli set pertama dengan keputusan 21-17.
Beregu Korea Selatan itu cuba bangkit pada set kedua. Walau bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik tetap unggul di gelanggang sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-18.
Keputusan ini menyaksikan bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu mara ke final buat kali kedua sejak edisi 2022. Aaron-Wooi Yik turut mengikut jejak Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai wakil Malaysia kedua berjaya sampai ke final lebih daripada sekali.
Mereka akan berdepan wakil China, Liang Weikeng dan Wang Chang di peringkat akhir. Weikeng-Wang Chang mara selepas menyingkirkan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dalam satu lagi aksi separuh akhir.