Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bakal berdepan cabaran sukar dalam saingan BWF World Tour Finals 2024.
Ini kerana pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu berada dalam Kumpulan A. Kumpulan tersebut turut mengandungi Anders Antonsen, Li Shifeng dan Chou Tien-Chen.
Kumpulan B pula menyaksikan Shi Yuqi berentap dengan Kunlavut Vitidsarn, Kodai Naraoka dan Jonatan Christie.
Dua pemain terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir. Pemenang acara perseorangan lelaki bakal menerima hadiah berjumlah AS$200,000 (RM884,000) dan 14,000 mata ranking.
Saingan dijangka lebih terbuka dengan ketiadaan juara edisi sebelumnya, Viktor Axelsen. Pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan kaki kiri.
Susulan itu, jaguh perseorangan China, Li Shifeng dipilih sebagai pengganti Axelsen untuk saingan BWF World Tour Finals 2024. Empat pemain diklasifikasi sebagai pemain pilihan iaitu Antonsen, Yuqi, Tien-Chen dan Naraoka.
Zii Jia bukan satu-satunya wakil negara yang bakal berdepan cabaran di pentas BWF World Tour Finals. Pearly Tan-M. Thinaah bakal dicabar beregu wanita nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam Kumpulan A acara beregu wanita.
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai pula berentap Kumpulan B acara beregu campuran.
Dua wakil negara untuk acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani masing-masing dalam Kumpulan A dan Kumpulan B acara berkenaan.
Saingan BWF World Tour Finals bakal berlangsung dari 11 hingga 15 Disember ini di Hangzhou, China.