Malaysia memiliki beberapa nama pemain yang berpotensi untuk dinaturalisasikan.
Revolusi skuad Harimau Malaya dijangka bakal berlaku menjelang sepak mula Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac tahun hadapan.
Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti juga sudah mengesahkan bahawa beliau tidak akan kekal dengan beberapa nama sudah mula dikaitkan untuk mengisi posisi tersebut.
Menerusi satu kenyataan oleh Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, baginda memberi bayangan bakal ada dua pemain yang dinaturalisasikan.
“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai pelan jangka pendek selepas beraksi 5 tahun di Malaysia. Hidalgo juga sebagai pelan jangka panjang dengan pemain lain yg ada.
“Pemain JDT semuanya sudah bersedia. Jurulatih baru dan Pengarah Sukan sedang mengumpul data pemain Malaysia di Liga Super dan luar negara.
Baginda juga yakin proses yang bakal ditempuhi oleh pasukan negara ini tidak mudah namun perlu dimulakan segera.
“Ini tidak menjadi mudah, ia memerlukan masa tetapi perlu bermuka dari sekarang termasuklah pelan untuk jangka panjang,” ujar DYAM Tunku Ismail dalam satu hantaran di laman X.
Terdapat juga beberapa calon lain yang berpotensi untuk membantu skuad kebangsaan seperti Giancarlo Gallifuoco, Rafael Vitor dan juga Argzim Redzovic.
Malaysia diundi bersama Vietnam, Nepal dan Laos dengan hanya juara kumpulan yang bakal menempah tiket ke Arab Saudi pada 2027.