Malaysia Bakal Naturasasikan Bergson
MakanBola
FAM/JST

Malaysia berpotensi untuk menerima sentuhan penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva.

Pemain berusia 33 tahun itu mewakili skuad Harimau Selatan sejak 2021 dan merupakan antara penyerang elit dalam kancah bola sepak Malaysia.

Revolusi skuad kebangsaan menyaksikan kehadiran barisan kejurulatihan baharu buat pasukan negara menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

Malaysia diundi berdepan Vietnam, Nepal dan Laos pada aksi bermula Mac tahun 2025 sekaligus berpotensi untuk beraksi di Piala Asia 2027.

Menerusi satu kenyataan oleh Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail mengesahkan bahawa projek skuad kebangsaan bakal bermula.

Hal ini melibatkan kemunculan beberapa muka baharu yang dijangka bakal mewarnai skuad semasa Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan.

“Falsafah yang sesuai dengan pemain yang ada. Beraksi lebih padat, menyerang dan bertahan sebagai satu unit. Disiplin sebagai satu kunci, Insha’Allah boleh.

Baginda juga memaklumkan bahawa Bergson berpotensi untuk mewakili Harimau Malaya sebagai pelan jangka pendek manakala Hidalgo sebagai pelan jangka panjang.

“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai pelan jangka pendek selepas beraksi 5 tahun di Malaysia. Hidalgo juga sebagai pelan jangka panjang dengan pemain lain yg ada.

“Pemain JDT semuanya sudah bersedia. Jurulatih baru dan Pengarah Sukan sedang mengumpul data pemain Malaysia di Liga Super dan luar negara.

“Ini tidak menjadi mudah, ia memerlukan masa tetapi perlu bermuka dari sekarang termasuklah pelan untuk jangka panjang,” ujar DYAM Tunku Ismail dalam satu hantaran di laman X.

Setakat ini, pengendali baharu Harimau Malaya dilaporkan memiliki pengalaman luas dalam saingan bola sepak Asia dan bakal dilantik memasuki tahun 2025.