Exco Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan & Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Fadzli Kamal melihat rumput Bermuda Tifgrand cukup sesuai digunakan untuk Stadium Darul Makmur.
Ketika ini, stadium tersebut menjalani proses penaiktarafan termasuk penukaran rumput padang. Kos penukaran rumput menelan belanja RM1.6 juta dengan peruntukan RM1.1 juta daripada kerajaan negeri Pahang.
RM500,000 lagi merupakan geran penukaran rumput yang diperuntukkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Fadzli memaklumkan Stadium Darul Makmur bakal menggunakan rumput Bermuda Tifgrand untuk menggantikan rumput Cowgrass. Ini kerana rumput jenis itu bukan saja tahan lasak tetapi lebih banyak menyerap air.
“Dan kelebihan Bermuda Tifgrand ini, yang pertamanya ia tahan lasak. Yang keduanya, ia lebih hijau pekat dan yang ketiga, ia tumbuh rapat jadi nampak cantik. Dan yang keempatnya adalah ia serap air.
“Maknanya kalau dalam hujan pun, ia lebih cepat menyerap air. Jadi, saya difahamkan tak adalah bertakung dan sebagainya. Uniknya rumput ini, ia bukan diambil dari benih ya tapi kita ambil dari keratan akar.
“Ianya baru ditanam tiga hari yang lalu dan dalam tempoh ini, rumput ini memang perlukan air yang banyak. Jadi, hujan ini sangat membantu, perlukan air yang banyak. Cuma mungkin dalam tempoh 10 hari lagi, ia perlukan cahaya matahari pula,” katanya kepada PahangMedia selepas meninjau kerja penanaman rumput tersebut baru-baru ini.
Fadzli turut memaklumkan Stadium Darul Makmur menjadi stadium pertama di Malaysia yang menggunakan rumput Bermuda Tifgrand. Beliau menjangkakan rumput berkenaan matang pada Mac 2025.
Selain kerja penanaman rumput, Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) sudah menyiapkan kerja-kerja penaiktarafan lain seperti mengecat, menukar sistem saliran dan membaiki tandas dan surau stadium.