Cape Verde mendapat suntikan semangat menjelang saingan Piala Dunia 2026 apabila mengejutkan pasukan ke-39 dunia, Serbia di Lisbon, Portugal.
Aksi pemanas badan ini merupakan sebahagian daripada dua aksi pemanas badan yang diatur Persekutuan Bola Sepak Cape Verde (FCF) sebelum kejohanan bermula.
Serbia pula menggunakan aksi ini sebagai peluang menguji ramai pemain muda yang dipanggil dalam kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kali ini.
Kevin Lenini menceriakan penyokong Cape Verde apabila mencetak gol pendahuluan pada minit ke-11. Serbia cuba bangkit memburu gol penyamaan menerusi penyerang Werder Bremen, Jovan Milosevic tetapi gagal.
Sebaliknya, anak buah Bubista menyumbat dua lagi gol pada separuh masa kedua. Laros Duarte dan Benchimol masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Serbia menjadi pasukan Eropah kedua yang dimalukan Cape Verde selepas Finland dalam saingan FIFA Series pada Mac lalu.
Selepas ini, Cape Verde akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan dengan menentang Bermuda pada 6 Jun. Serbia pula akan berkelana ke Mexico untuk satu lagi aksi persahabatan pada 4 Jun.