Pengendali Cape Verde, Pedro Brito memuji kualiti yang ditampilkan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung pada 29 Mei lalu.
Pertemuan The Blue Sharks dan Malaysia itu menyaksikan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain Viktoria Koln, Sidny Lopes Cabral pada babak pertama.
Kapten KL City FC, Paulo Josue memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata menerusi gol pada babak kedua.
Meskipun berstatus ranking ke-131 dunia, prestasi baik yang ditampilkan anak buah Peter Cklamovski mengagumkan Brito.
“Saya tidak terkejut dengan (kualiti) pasukan Malaysia. Kita memulakan perlawanan dengan baik tetapi tidak kira tentang kedudukan ranking, pasukan seperti Malaysia boleh menewaskan pasukan yang memiliki ranking lebih tinggi seperti kita.
“Itu menunjukkan kedudukan ranking tidak penting. Bagi kita, itu bukan sesuatu yang mengejutkan. Kami gembira bermain di Malaysia dan beraksi dalam perlawanan sebegini.
“Kami ucapkan selamat berjaya kepada anda dalam perlawanan seterusnya (menentang Vietnam),” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun.