Cardiff City FC kembali semula ke saingan Liga Kejohanan (divisyen dua England) pada musim hadapan.
Ini selepas pasukan yang dimiliki Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu menewaskan Reading dalam aksi terbaru Liga Satu (divisyen tiga England).
Kejayaan itu memastikan Cardiff sukar dikejar pencabar terdekat, Bolton Wanderers. Ini kerana The Bluebirds mengumpul 85 mata berbanding Bolton (74 mata).
Selain itu, jika Bolton menang baki dua perlawanan sekalipun, itu tidak cukup untuk memintas Cardiff sebagai naib juara liga.
Persaingan merebut slot playoff Liga Satu masih lagi terbuka membabitkan enam pasukan. Selain Bolton, Bradford City, Stockport, Stevanage, Luton Town dan Plymouth turut mengintai slot berkenaan.
Pemenang slot playoff bakal mengiringi Cardiff dan juara Liga Satu, Lincoln City ke saingan Liga Kejohanan musim hadapan.
Satu pasukan yang sah akan beraksi di Liga Satu pada musim hadapan ialah bekas juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City.
The Foxes tersingkir selepas seri 2-2 dengan Hull City dalam aksi terbaru Liga Kejohanan pada awal pagi Rabu. Leicester City mengiringi Sheffield Wednesday yang telah tersingkir awal.
Satu lagi slot ketika ini dihuni Oxford United. Seandainya pasukan itu gagal meraih keputusan positif dalam baki dua perlawanan, kelab yang dimiliki Erick Thohir itu berpotensi tersingkir ke Liga Satu musim depan.