CAS Penentu Dua Surat Beranak Negara Berdaulat
MakanBola
Malaysia NT

Seorang peguam sukan melihat isu surat beranak sebagai penentu sama ada rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berjaya atau sebaliknya.

Hal ini dinyatakan Zhafri Aminurrashid apabila diminta mengulas isu yang berpotensi mempengaruhi rayuan badan induk itu di CAS.

Zhafri melihat isu ini timbul apabila dua negara berdaulat masing-masing mengeluarkan surat beranak untuk tujuh pemain berkenaan.

Beliau berpandangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan surat beranak mana yang mengatasi surat beranak yang lain .

Seandainya CAS menyatakan bahawa surat beranak yang dikeluarkan Malaysia diterima, FIFA wajib membenarkan kesemua tujuh pemain itu beraksi semula.

“Ada dua surat beranak yg dikeluarkan oleh dua negara berdaulat. FIFA tiada kuasa untuk sahkan mana satu (surat beranak) mengatasi yang lain.

“Jika CAS memutuskan surat beranak Malaysia diterima, FIFA wajib membenarkan mereka bermain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Apabila ditanya seorang peminat bola sepak tentang kesan domino jika perkara itu berlaku, Zhafri memaklumkan antara kesannya ialah FIFA perlu meminda statut mereka.

“Wajib kena pinda semula (statut) jika menang di CAS. Berkemungkinan besar kesan domino itu ada,” ujarnya.

Keputusan rayuan FAM dan tujuh pemain warisan negara dijangka diketahui pada penghujung Februari ini.