Pemain tengah Man United, Casemiro dilaporkan sedang mencari jalan untuk meninggalkan pasukan itu.
Akhbar Daily Express melaporkan keputusan itu dibuat dengan syarat beliau dan kelab mendapat tawaran yang bersesuaian dari segi kewangan.
Sejak tiba di Old Trafford pada musim lepas dari Real Madrid, Casemiro memperkukuh bahagian tengah United dan membantu mereka meraih tempat ketiga dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bagaimanapun, masalah kemerosotan prestasi dan isu kecederaan mendorong kedua-dua pihak melihat Januari sebagai peluang terbaik untuk meninggalkan United.
Kelab-kelab Arab Saudi dan Paris Saint-Germain dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain tengah berusia 31 tahun itu.
Sekiranya minat mereka diterjemah menjadi perpindahan kekal, Casemiro bakal menjadi pemain United kedua meninggalkan Old Trafford dalam tetingkap perpindahan Januari.
Ini selepas pemain tengah Belanda, Donny van de Beek bakal berpindah secara pinjaman ke Eintracht Frankfurt. Perpindahan ini bakal dimuktamadkan pada Januari ini.
Sekiranya perpindahan tersebut berjalan lancar, Frankfurt boleh mengaktifkan klausa perpindahan tetap berjumlah £15 juta (RM89 juta). Perpindahan ini telah didedahkan oleh wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
Selain Casemiro, United juga sedang berusaha menjual Jadon Sancho dan Anthony Martial untuk tetingkap perpindahan Januari ini.
United telah memaklumkan kontrak Martial tidak akan disambung musim ini. Justeru, penyerang Perancis itu mempunyai pilihan sama ada berpindah pada Januari atau meninggalkan kelab sebagai ejen bebas.