Cerezo Osaka Menang Lagi, Dion Cools Kuasai Dua Statistik
MakanBola
Cerezo Osaka

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools membantu Cerezo Osaka meneruskan rentak kemenangan dalam J-League 1 Wilayah Barat.

Cerezo bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Kyoto Sanga 2-1di Stadium Sanga. Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, tuan rumah mendahului menerusi Marco Tulio pada minit ke-48.

Pemain gantian, Reiya Sakata menceriakan kem Cerezo dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-70.

Tatkala perlawanan seakan diheret ke penentuan sepakan penalti, Shunta Tanaka muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-96.

Keputusan ini menyaksikan Kyoto Sanga dan Cerezo berkongsi sembilan mata di tangga keempat dan kelima J-League 1 Wilayah Barat.

Sofascore memilih pemain tuan rumah, Shinnosuke Fukuda sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.3. Cools pula mendapat markah 6.5.

Meskipun mendapat markah sederhana oleh Sofascore, bekas pemain Buriram United itu menerajui dua statistik Cerezo. Cools mengetuai statistik terjahan dengan enam terjahan dan merekodkan kelajuan tertinggi 33.7 kilometer sejam (km/h).

Selepas ini, Cools dan Cerezo akan menentang Fagiano Okayama pada 18 Mac ini.