Menjelang hari-hari terakhir tetingkap pertama musim perpindahan 2024/25, peminat bola sepak negara teruja apabila nama Lee Tuck dikaitkan dengan perpindahan ke PDRM FC.
Perpindahan pemain tengah menyerang berusia 36 tahun itu bagaimanapun tidak dapat direalisasikan apabila tetingkap perpindahan berakhir pada 3 Mei lalu.
Sebelum ini, ramai orang menyangka Tuck memilih untuk bersara dan kembali ke negara kelahirannya, England untuk menjadi ejen hartanah.
Segalanya berubah apabila pemain tengah itu dilaporkan telah menarik minat sebuah pasukan Lembah Klang.
Ini membuatkan ramai peminat bola sepak percaya nama Lee Tuck bakal kembali menghiasi bola sepak negara untuk musim 2024/25.
Menerusi satu laporan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom telah memaklumkan nama bekas pemain Terengganu FC itu menarik minat PDRM dan KL City FC.
PDRM dilihat berminat mendapatkan Tuck dengan perbincangan telah diadakan antara kedua-dua pihak. Pengurusan The Cops kemudiannya membatalkan perpindahan tersebut memandangkan ini terlalu hampir dengan tarikh akhir tetingkap perpindahan iaitu 3 Mei lepas.
“Nama dia dikaitkan dengan dua pasukan Lembah Klang, PDRM dan KL City. Apa yang saya dapat daripada PDRM ialah perbincangan itu berlaku terlalu lambat, dua minggu sebelum tetingkap perpindahan pertama (berakhir).
“Ini meletakkan pengurusan PDRM ragu-ragu sebab mereka sudah menghantar cadangan bajet baru dan itu tidak termasuk dengan kehadiran Lee Tuck.
“Ini secara ringkasnya menafikan kehadiran Lee Tuck dalam kancah bola sepak Liga Malaysia bersama PDRM,” katanya kepada pengacara segmen redONE Keluar Masuk Liga M, Haji Zainal Abidin Rawop untuk Nadi Arena.
Meskipun peluang mendapatkan Tuck buat masa ini tertutup, ini bukan bermakna peluang beliau beraksi di Liga M sudah berakhir.
Fina turut memaklumkan bahawa PDRM bersedia mengusahakan kembali perpindahan Tuck sekiranya ada keperluan dalam tetingkap kedua perpindahan musim 2024/25.
“Mungkin ia akan berlaku kerana saya sempat berbicara dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDRM yang mengatakan kemungkinan itu ada. Tetapi bergantung kepada prestasi pasukan dan tempoh sebelum jendela perpindahan kedua nanti,” tambahnya.
Sepanjang beraksi di Liga M, Tuck sudah merekodkan 70 penampilan, 25 gol dan 17 bantuan gol.
Beliau juga pernah menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan di bawah Kim Pan-gon. Tuck merekodkan sembilan penampilan antarabangsa dan tiga gol.