Chelsea akhirnya berjaya menemui sentuhan kemenangan di bawah jurulatih Mauricio Pochettino. Ini selepas mereka menang tipis ke atas Brighton and Hove Albion 4-3 dalam Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris (EPL) di Lincoln Financial Field, Philadelphia.
Begitupun, Blues ketinggalan kepada Brighton seawal minit ke-13 menerusi gol bekas penyerang Manchester United, Danny Welbeck.
Tetapi pendahuluan tersebut bertahan selama enam minit apabila penyerang baru Chelsea, Christopher Nkunku menyumbat gol melepasi penjaga gol Seagulls, Jason Steele.
Bersambung pada babak kedua, Brighton bernasib malang apabila Jan Paul van Hecke dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua.
Kesempatan itu direbut Chelsea dengan menyumbat tiga gol dalam tempoh 11 minit menerusi Mykhailo Mudryk, Conor Gallagher dan Nicolas Jackson.
Bagaimanapun, anak-anak buah Pochettino tidak senang duduk apabila Brighton merapatkan jurang menerusi Joao Pedro dan Denis Undav dalam 10 minit terakhir perlawanan.
Pada akhirnya, Blues meraih kemenangan pra-musim sekaligus satu kelegaan buat para penyokong Chelsea selepas melihat pasukan mereka bergelut pada musim lepas.
Ini merupakan kemenangan pra-musim mereka yang kedua selepas membelasah pendatang baru League Two, Wrexham 5-0 beberapa hari lepas.
Selepas ini, Chelsea bakal berdepan Newcastle United untuk aksi seterusnya Siri Musim Panas EPL pada 27 Julai. Manakala Brighton berdepan Brentford pada hari yang sama.