Chelsea difahamkan mahu mendapatkan pinjaman lebih £500 juta (RM2.8 bilion) bagi membantu mereka berbelanja besar dalam tetingkap perpindahan Januari tahun depan.
Akhbar The Sun mendedahkan pemilik The Blues, Todd Boehly mahu terus berbelanja biarpun sudah membelanjakan lebih £1 bilion (RM5.7 bilion) di pasaran perpindahan sejak musim lepas.
Pinjaman ini bakal dibuat dengan institusi-institusi perbankan Amerika Syarikat – trend yang sudah dilakukan kelab-kelab EPL sejak beberapa tahun lepas terutama semasa pandemik Covid-19.
Tetingkap perpindahan musim panas ini menyaksikan beberapa nama dibawa masuk Chelsea seperti Christopher Nkunku, Nicolas Jackson, Cole Palmer dan Axel Disasi bagi memperkuatkan pasukan.
Bagaimanapun, The Blues yang dibimbing Mauricio Pochettino terus bergelut dengan mereka hanya meraih satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan musim ini.
Chelsea bakal berdepan Fulham awal pagi ini dengan harapan mendapatkan kemenangan kedua EPL musim ini.