Advertisements
Chelsea Makin Sukar Dicabar
Eropah
MakanBola
Chelsea FC

Chelsea makin sukar digugat dalam saingan Liga Konferensi UEFA (UECL) apabila membelasah kelab Armenia, FC Noah 8-0 di Stamford Bridge.

Selepas diikat 1-1 oleh Manchester United di Old Trafford, anak buah Enzo Maresca mahu kembali mendapatkan rentak kemenangan.

Mereka bermula dengan langkah kanan menerusi bekas bek tengah Fulham, Tosin Adarobioyo pada minit ke-12. Seminit selepas itu, Marc Guiu membuka akaun golnya bersama The Blues.

Noah dibolosi buat kali ketiga apabila Axel Disasi mudah menanduk bola melepasi penjaga gol, Ognjen Chancharevich pada minit ke-18. Tiga minit selepas itu, giliran Joao Felix menyumbat gol keempat Chelsea.

Noah cuba bertahan dengan harapan tidak dibolosi lagi sehingga rehat separuh masa. Malangnya, itu tidak berlaku dengan Mykhailo Mudryk dan Felix memastikan Chelsea mendahului 6-0.

Bersambung selepas rehat, The Blues terus berusaha menambah koleksi gol mereka. Christopher Nkunku menyumbat gol ke-10 beliau untuk musim 2024/25 pada minit ke-69.

Nkunku menambah satu lagi gol menerusi penalti pada minit ke-76. Ini selepas pengadil Austria, Christian-Petru Chlochirca mengesan kekasaran ke atas Kiernan Dewsbury-Hall dalam kotak penalti.

Keputusan 8-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Chelsea terus dominan di persada liga UECL dengan sembilan mata dan kelebihan jaringan yang besar.

Felix menjadi pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.2, 0.5 mata di hadapan penjaga gol Denmark, Filip Jorgensen.

Kemenangan ini bakal membakar semangat Chelsea untuk memburu kemenangan ke atas Arsenal di Stamford Bridge pada awal pagi 11 November.