Selepas beberapa penyerang yang dibawa masuk gagal memberikan impak diharapkan, kini Chelsea dikatakan sudah menjumpai seorang penyerang berbisa bagi merobek gawang lawan pada musim hadapan.
Menurut laporan dari David Ornstein, Chelsea telah bersetuju dengan syarat peribadi dengan penyerang Senegal Nicolas Jackson yang kini beraksi bersama Villarreal di kasta utama Liga Sepanyol, La Liga.
Untuk mempercepatkan proses perpindahan, Chelsea boleh mengaktifkan klausa perlepasan Jackson yang bernilai 30 juta euro memandangkan pemain itu masih mempunyai kontrak bersama Villarreal sehingga 2026.
Pemain berusia 21 tahun itu, telah beraksi dua kali untuk skuad kebangsaan Senegal dan telah meledak 13 gol musim lalu bersama Villarreal. Lebih menarik lagi, dia telah menjaringkan sembilan gol dalam lapan perlawanan terakhirnya, sekali gus membantu Villarreal itu menduduki tempat kelima dalam carta La Liga.
Chelsea sedang mencari penyerang tengah baharu untuk menyelesaikan masalah ketandusan jaringan gol mereka, yang menyaksikan pasukan itu hanya menjaringkan 38 kali sepanjang kempen Liga Perdana Inggeris 2022/23.
Jackson bukan satu-satunya penyerang yang menjadi sasaran Chelsea. Difahamkan mereka juga sedang memantau rapat potensi untuk membawa masuk Victor Osimhen dari Napoli dan Lautaro Martinez dari Inter Milan.