Beregu lelaki utama Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menepati ramalan layak ke pusingan kedua China Masters 2023.
Juara dunia regu lelaki 2022 itu berjaya mara selepas mengatasi cabaran rakan senegara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi hari ini.
Dari segi rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada Aaron-Wooi Yik. Ini kerana juara Terbuka Denmark 2023 itu menang lima daripada tujuh rekod pertemuan sebelum ini.
Set pertama menyaksikan Aaron-Wooi Yik merekodkan kelebihan selesa pada kedudukan 11-5.
Bagaimanapun, naib juara Kejohanan Badminton Asia 2023 itu berjaya merapatkan jurang pada kedudukan 17-13. Namun begitu, Aaron-Wooi Yik kekal unggul dan memenangi set pertama dengan keputusan 21-15.
Tersentak, Yew Sin-Ee Yi cuba bangkit pada set kedua dengan harapan dapat mengheret perlawanan ke rubber set.
Mereka pada satu ketika berjaya merapatkan jurang pada kedudukan 6-5. Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik kekal tenang sebelum mengungguli set kedua dengan keputusan 21-15.
Aaron-Wooi Yik yang berstatus pilihan ketiga kejohanan bakal berdepan salah satu daripada regu China di pusingan kedua.
Ini kerana Tan Qiang dan Zhou Haodong berdepan He Jiting dan Ren Xiangyu dalam satu lagi aksi pusingan pertama hari ini.