Advertisement
China Masters: Pearly Tan-M. Thinaah Atasi Cabaran Beregu Ke-143 Dunia
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah mudah melangkah ke pusingan kedua China Masters 2024.

Ini selepas juara Hong Kong Open 2024 itu mengatasi cabaran wakil China, Ding Ke Yun dan Wang Yi Duo dalam aksi pusingan pertama kejohanan.

Selepas tersingkir di pusingan pertama Japan Masters 2024, Pearly-Thinaah berharap dapat bangkit dalam kejohanan yang berlangsung di Shenzhen, China itu.

Meskipun ini pertemuan pertama membabitkan kedua-dua beregu, beregu negara memiliki kelebihan dari segi ranking. Pearly-Thinaah menduduki ranking keenam dunia dengan Ke Yun-Yi Duo pula menduduki ranking ke-143 dunia.

Set pertama menyaksikan naib juara Arctic Open 2024 itu selesa mendahului wakil China itu pada kedudukan 11-4. Kelebihan itu terus dipertahankan sebelum Pearly-Thinaah meraih kemenangan dengan keputusan 21-16.

Set kedua menyaksikan beberapa kesilapan mudah yang dilakukan beregu negara memberi ruang buat Ke Yun-Yi Duo mendahului pada kedudukan 11-10.

Pearly-Thinaah berjaya mengejar sebelum menyamakan kedudukan 14-14. Itu sudah cukup buat beregu negara meraih kemenangan dengan keputusan 21-14.

Kemenangan ini menyaksikan Pearly-Thinaah menjadi wakil negara terbaru yang mara ke pusingan kedua Japan Masters 2024.

Selain mereka, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Nor Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsali dan Arif Junaidi-Yap Roy King turut mara ke pusingan seterusnya.

Pearly-Thinaah bakal bertemu sama ada wakil Chinese Taipei, Hsu Yin-Hui dan Lin Jhih Yun atau wakil Jepun, Arisa Igarashi dan Ayako Sakuramoto.