Pemain baharu JDT, Christian Abad Amat dilabel sebagai penjaga gol masa hadapan di Sepanyol.
Christian Abad melengkapkan perpindahannya ke JDT menerusi satu hantaran video pengenalan yang dimuat naik oleh skuad Harimau Selatan di media sosial.
Nama pemain muda berusia 18 tahun itu terus meletup dan menarik minat ramai peminat bola sepak tempatan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai profil Christian Abad.
Memulakan karier mudanya di akademi Muro FC yang juga kelab kampung halamannya pada tahun 2013 hingga 2016 sebelum menarik minat kelab besar seperi Valencia untuk merekrut beliau ketika berusia 10 tahun.
Di Valencia, beliau berjaya dinaikkan pangkat ke ‘Cadet B’ dan di akhir musim beliau dipinjamkan ke CD Alcoyano, ketika inilah tawaran dari Elche tiba untuk mendapatkan khidmatnya.
Menurut jurulatihnya di Juvenil B, Dani López, keupayaan Abad untuk membaca permainan banyak membantunya untuk mengawal keadaan selain pantas belajar untuk memperbaiki kelemahan.
“Dia memahami permainan dengan baik dan ini membantu dia membaca situasi yang berlaku. Paling penting, dia menerima teguran dengan baik dan tahu cara bagaimana untuk melaksanakannya dengan cepat,” ujar Dani López.
“Dia sangat tenang di pintu gol, dalam situasi satu lawan satu, dan juga baik ketika menyerang dan bertahan,” tambah Dani López lagi yang juga melabelnya sebagai penjaga gol masa hadapan menurut laporan El Nostre.
Kini, Abad bakal membawa cabaran baharu di Liga Super bersama skuad bimbingan Hector Bidoglio dan semestinya memberi saingan sengit buat penjaga gol utama, Ahmad Syihan Hazmi.