Pemain sayap Terengganu FC, Safawi Rasid mempunyai ciri unik sebagai kapten pasukan. Ianya berjaya dikesan bekas pemain bola sepak negara, Razman Roslan.
Razman berpendapat, Safawi tidak perlukan kelantangan di atas padang namun segala tindak-tanduk pemain sayap kidal itu akan menjadi contoh dan ikutan buat para pemain lain yang sepasukan dengannya.
“Bagi saya, ketua pasukan ini dia ada karakter masing-masing. Ada yang jenis vokal yang boleh bagi arahan. Tetapi bagi saya, Safawi ni, ketua pasukan yang menunjukkan contoh.
“Leading by example. Itu yang diberikan oleh Safawi dan pemain-pemain pasti akan menghormati ataupun akan lebih memberikan yang terbaik jika seorang kapten yang memberikan 100 peratus,” jelas Razman kepada Astro Arena.
Safawi semakin mendapatkan sentuhannya seperti dahulu apabila mempamerkan aksi berkualiti bersama Terengganu musim ini.
Untuk musim 2024/2025, Safawi sudah diturunkan dalam 10 perlawanan bagi saingan Liga Super dan Piala FA. Pemain sayap berusia 27 tahun itu turut berhasil menjaringkan 5 gol setakat ini.
Terengganu baru sahaja tersingkir daripada Piala FA kini kembali memberikan fokus bagi saingan Liga Super dengan aksi seterusnya adalah bertemu Kuala Lumpur City FC pada 10 Ogos ini.