Penyerang baru Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Aung Kaung Mann memiliki satu ciri unik yang dapat membantu pasukan itu.
Ciri yang dimaksudkan ialah keupayaannya membantu pasukan bawahan untuk bangkit dan mendaki kedudukan liga. Ini dibuktikan menerusi tempohnya bersama dua kelab Thailand, Khon Kaen United dan Nakhon Ratchasima.
Semasa bersama Khon Kaen United, penyerang berusia 26 tahun itu membantu mereka layak ke Thai League 2 selaku pemenang playoff Thai League 3 untuk musim 2020/21.
Kisah sama turut diulangi semasa Kaung Mann dipinjamkan ke Nakhon Ratchasima dari Chonburi untuk musim 2023/24.
Walaupun hanya menjaringkan tiga gol daripada 13 penampilan bersama pasukan itu, itu sudah cukup buat Nakhon Ratchasima layak ke Thai League 1 selaku juara Thai League 2.
Kini, bisa Kaung Mann ditagih pengendali Kelantan DN, Park Jae-hong untuk membantu pasukan itu mendaki kedudukan liga. Ketika ini, skuad Kijang Emas berada di tangga ke-13 dengan tiga mata.
Kaung Mann dijangka bergandingan dengan seorang lagi penyerang baru Kelantan DN, Layth Kharoub untuk aksi menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 22 September ini.
Perlawanan ini bakal diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) selepas Stadium Sultan Muhammad IV tidak dapat digunakan sehingga pertengahan Oktober ini.
Ini kerana kerja-kerja penaiktarafan padang sedang giat dijalankan di situ. Permohonan Kelantan DN menggunakan SSI sebagai venue alternatif telah mendapat lampu hijau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).