Chelsea membuka kempen UEFA Conference League (UECL) dengan kemenangan apabila skuad B mereka menewaskan KAA Gent 4-2 di Stamford Bridge.
Kedua-dua pasukan membawa momentum kemenangan daripada saingan liga domestik masing-masing untuk aksi pertama UECL. Chelsea masih segar daripada kejayaan membelasah Brighton 4-2.
Axel Disasi mengetuai cabaran The Blues. Manakala anak legenda Chelsea, Andri Gudjohnsen diberi tugas untuk merobek gawang tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan Chelsea berusaha mendapatkan kelebihan gol awal. Keadaan ini memaksa penjaga gol Gent, Davy Roef bekerja keras menepis asakan tuan rumah.
The Blues perlu menunggu sehingga minit ke-12 untuk membuka tirai jaringan menerusi Renato Veiga. Veiga pantas menanduk bola hantaran Mykhailo Mudryk melepasi Roef.
Gent hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi penyerang muda England, Archie Brown. Malangnya, sepakannya dari sudut sukar berjaya diselamatkan penjaga gol, Filip Jorgensen.
Gent terus memberi tekanan kepada Chelsea tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, giliran tuan rumah pula meningkatkan tekanan ke atas pelawat untuk memburu gol kedua.
Bekas pemain sayap Wolves, Pedro Neto mengambil kesempatan daripada situasi kacau-bilau dalam kotak penalti pelawat untuk gol kedua Chelsea pada minit ke-46.
Keceriaan penyokong di Stamford Bridge tidak bertahan lama apabila Tsuyoshi Watanabe merapatkan jurang buat pelawat empat minit lepas itu.
Selepas mencipta nama sebagai penjaring, Veiga membantu Christopher Nkunku menjaringkan gol kelapannya dalam semua kejohanan pada minit ke-63.
Bekas tonggak tengah Leicester City, Kiernan Dewsbury-Hall memastikan Chelsea mendahului 4-1. Pertahanan Gent menyangka berjaya menyekat pergerakan Nkunku tetapi Dewsbury-Hall pantas menolak bola masuk ke dalam jaring pada minit ke-70.
Omri Gandelman menyumbat gol kedua pelawat pada minit akhir permainan. Walau bagaimanapun, itu sudah terlambat untuk menghalang Chelsea meraih tiga mata pertama dalam UECL.
Keputusan ini menyaksikan Chelsea dan Gent masing-masing menghuni tangga keenam dan ke-28 liga UECL. Sementara Veiga pula dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.3.
Selepas ini, Chelsea bakal berdepan Nottingham Forest pada 6 Oktober. Manakala Gent pula berdepan St. Truidense pada awal pagi 7 Oktober.