COO Terengganu Saran Kurangkan Levi Stadium
MakanBola
MFL

Ketua Pegawai Operasi (COO) Terengganu FC, Syahrizan Mohd. Zain menyarankan pengurangan levi stadium bagi membantu mengurangkan beban kewangan kelab-kelab Liga Super.

Saranan itu dibuat beliau dalam sesi meja bulat Malaysian Football League (MFL) yang diadakan baru-baru ini.

Syahrizan melihat caj levi stadium yang dikenakan ke atas kelab cukup membebankan dari segi kewangan.

Atas sebab itu, beliau mencadangkan kadar levi stadium dikurangkan atau bayaran caj diberi terus kepada kelab-kelab Liga Super.

Pada hemat Syahrizan, seandainya perubahan dapat dilakukan dari segi aspek berkenaan, ia dilihat memberi sedikit kelegaan kepada kelab-kelab dari segi kewangan.

“Kita tahu penganjur ambil levi 10% daripada kutipan tiket setiap pasukan. Jadi, Terengganu mungkin utarakan 10% itu kalau boleh MFL bagi kepada pasukan atau kurangkan sedikit.

“Sekurang-kurangnya dapat membantu rakan kongsi dari segi kewangan. Walaupun tak banyak tapi membantu (kelab-kelab),” katanya.

Selain isu levi stadium, Syahrizan turut menyentuh isu kualiti pengadilan dan VAR, kemerosotan kehadiran penyokong di stadium dan kuota pemain import.

Sesi meja bulat MFL diadakan bagi membantu kelab-kelab mencari solusi tuntas bagi membantu menambah baik kualiti Liga Super pada musim hadapan.