Juara dunia, Argentina terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi tentangan sengit Chile dalam aksi kedua Kumpulan A Copa America 2024.
La Albiceleste tahu mereka boleh mara ke pusingan suku akhir lebih awal selepas berjaya menewaskan Kanada. Sementara Chile pula perlu menang selepas seri tanpa jaringan dengan Peru dalam aksi pertama kumpulan.
Argentina mempertaruhkan penyerang Inter Miami, Lionel Messi sebagai peledak utama bersama Julian Alvarez. Sementara La Roja pula meletakkan Eduardo Vargas dan Alexis Sanchez untuk mengetuai serangan mereka.
Babak pertama menyaksikan Argentina kerap melancarkan serangan ke atas kubu pertahanan Chile menerusi gandingan Messi dan Alvarez.
Dan anak buah Lionel Scaloni hampir mendahului pada minit ke-21 menerusi Alvarez. Malangya, rembatan penyerang muda Manchester City itu berjaya ditangkap kemas penjaga gol La Roja, Claudio Bravo.
Argentina terus berusaha menembusi kubu pertahanan La Roja tetapi Bravo kental menyerap setiap tekanan yang dikenakan ke atas gawangnya.
Ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Argentina terus menggandakan asakan untuk mendapatkan kelebihan gol.
Pemain tengah Liverpool, Alexis MacAllister menguji kecekapan Bravo pada minit ke-54 menerusi satu rembatan deras dari jarak dekat. Penjaga gol Real Betis itu pantas menafikan hasrat pemain tengah berusia 25 tahun itu.
Enam minit kemudian, MacAllister sekali lagi melepaskan rembatan kencang ke arah gawang La Roja. Malangnya, Bravo terus menjadi penghalang Argentina daripada mendapatkan gol.
Melihat anak buahnya buntu mendapatkan jaringan, Scaloni memasukkan Giovani Lo Celso bagi menambah kreativiti di bahagian serangan.
La Albiceleste nyaris dikejutkan pada minit ke-72 apabila Rodrigo Echevarria melepaskan rembatan ke arah gawang mereka. Percubaan pemain Atletico Huracan itu dinafikan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.
Tatkala Chile menyangka mereka dapat mencuri satu mata, pemain gantian Lautaro Martinez muncul wira dengan meledakkan gol pada minit ke-88. Itu merupakan gol ke-26 penyerang Inter Milan itu di peringkat antarabangsa.
Chile berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Argentina mengesahkan kemaraan awal ke suku akhir Copa America 2024.
Sofascore memilih Bravo sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini dengan markah 7.9.
Selepas ini, Argentina akan menentang Peru pada 29 Jun. Sementara Chile pula perlu menang ke atas Kanada pada hari sama jika ingin mengiringi Argentina ke pusingan seterusnya.