Copa América: Argentina mencatatkan kemenangan 2-0 pada aksi pembukaan berdepan Kanada.
Skuad kendalian Lionel Scaloni mempertaruhkan kesebelasan terbaik dengan meletakkan Lionel Messi, Angel Di Maria, Lisandro Martinez dan juga Emiliano Martinez dalam kesebelasan utama.
Aksi babak pertama berlangsung hambar apabila tidak banyak percubaan berjaya dilancarkan oleh jentera serangan berkelas dunia Argentina.
Kanada lebih selesa mengatur gerak menerusi hantaran-hantaran pendek selain cuba untuk mendominasi jentera tengah pasukan.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-0.
Bersambung babak kedua, Argentina dan Kanada saling bertukar serangan untuk mencari gol pembukaan perlawanan.
Detik yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila penyerang Man City, Julian Alvarez meledak gol pertama Argentina pada minit ke-49.
Aksi berlangsung hambar memasuki 30 minit terakhir perlawanan dengan kedua-dua pasukan bermain dengan pendekatan lebih selamat.
Kemasukan pemain gantian, Lautaro Martinez memastikan 3 mata milik juara dunia 2022 itu menerusi jaringan cantik pada minit ke-88.
Tambahan masa 5 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Argentina akan bertemu Chile manakala Peru akan menentang Kanada pada 26 Jun 2024.