Bekas pemain Barcelona yang juga pemain terbaik dunia, Lionel Messi memilih Real Madrid sebagai kelab terbaik di dunia ketika ini.
Real Madrid yang merupakan musuh tradisi Barcelona sejak sekian lama muncul juara UEFA Champions League (UCL) baru-baru ini setelah menewaskan Borussia Dortmund 2-0 di pentas akhir hasil jaringan Dani Carvajal dan Vinicius Junior.
Dalam satu temu bual Lionel Messi bersama akhbar terkemuka Argentina, Infobae, pemain berusia 36 tahun itu memilih Real Madrid sebagai kelab terbaik di dunia ketika ini atas kejayaan Los Galacticos muncul juara UCL di Wembley tempoh hari.
“Pasukan terbaik, jika kita boleh katakan, ialah Real Madrid, kerana mereka adalah pemenang Liga Juara-Juara,” ujar Messi kepada Infobae.
Walau bagaimanapun, Messi lebih tertarik dengan gaya permainan yang ditampilkan oleh Manchester City musim ini yang dibimbing oleh bekas jurulatihnya di Barcelona dahulu, Pep Guardiola.
“Jika anda bercakap tentang keputusan, ia adalah Madrid; jika anda bercakap tentang gaya permainan, secara peribadi, saya suka City (di bawah bimbingan Pep) Guardiola,” tambah Messi.
Messi yang pernah menerima tunjuk ajar dari Guardiola selama beberapa musim di kelab Catalans itu memuji gaya perwatakan jurulatih kelahiran Sepanyol yang menjadikan pasukan bimbingannya lebih menarik untuk ditonton.
“Saya fikir mana-mana pasukan dengan Guardiola akan menjadi istimewa kerana wataknya, cara bimbingannya, dan cara dia membuatkan pasukannya bermain. Dari segi gaya permainan, bagi saya, City adalah yang terbaik manakala untuk keputusan, Madrid.”
Ketika ini, Messi menyarung jersi Inter Miami dalam saingan Major League Soccer (MLS) bersama-sama bekas rakan sepasukannya di Barcelona seperti Luis Suarez, Sergio Busquet dan Jordi Alba.
Manakala di peringkat antarabangsa, Messi kini sedang dalam persiapan bersama skuad kebangsaan Argentina untuk menghadapi Copa America hujung Jun nanti dan dijadualkan berdepan Ecuador dalam satu aksi persahabatan pada Isnin pagi.