Argentina mengesahkan kemaraan ke suku akhir Copa America 2024 selaku juara Kumpulan A apabila menewaskan Peru di Stadium Hard Rock, Miami Gardens, Florida hari ini.
La Albiceleste hanya perlu seri atau menang dengan La Rojiblanca untuk bergelar juara kumpulan. Sementara Peru pula melihat perlawanan hari ini sebagai peluang terakhir meraih kemenangan dalam saingan Copa America 2024.
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni tetap menurunkan barisan terkuat diketuai Angel Di Maria meskipun memilih merehatkan Lionel Messi. Sementara pengendali Peru, Jorge Fossati pula memberi kepercayaan kepada penyerang veteran, Paulo Guerrero mengetuai pasukan.
Separuh masa pertama menyaksikan Argentina berusaha mencari kelebihan gol awal menerusi trio Lautaro Martinez, Alejandro Garnacho dan Di Maria.
Malangnya, usaha trio penyerang berbisa La Albiceleste itu mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan Peru. Ini kerana pasukan itu menggunakan formasi 3-4-3 untuk mengekang serangan Argentina.
Keadaan ini membantu barisan pertahanan La Rojiblanca diketuai bek tengah veteran, Carlos Zambrano menyerap asakan juara dunia tiga kali itu.
Peluang terbaik Argentina hadir menerusi Leandro Paredes pada minit ke-25. Malangnya, rembatan pemain tengah AS Roma itu berjaya dinafikan penjaga gol Peru, Pedro Gallese.
La Albiceleste terus memberi tekanan kepada Peru tetapi kecekapan Gallese memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Argentina terus memperhebatkan serangan ke atas kubu pertahanan Peru. Gol yang dicari akhirnya hadir pada minit ke-47 menerusi Martinez.
Penyerang Inter Milan berusia 26 tahun itu berjaya melepasi perangkap ofsaid La Rojiblanca sebelum melambungkan bola melepasi jangkauan Gallese.
Keadaan ini mendorong Fossati membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat mencari gol penyamaan.
Peru terus ditimpa malang apabila pengadil Mexico, Cesar Arturo Ramos mengesan insiden bola terkena tangan pemain pasukan itu dalam kotak penalti. Meskipun keputusan tersebut dibantah pemain-pemain La Rojiblanca, Ramos tetap bertegas dengan keputusannya.
Paredes menyangka dapat menambah gol kedua Argentina menerusi penalti pada minit ke-71. Malangnya, sepakan penaltinya hanya mengenai palang sebelum dikeluarkan pertahanan Peru.
Gol kedua yang dicari La Albiceleste akhirnya muncul pada minit ke-86 menerusi Martinez. Gol itu memastikan Argentina muncul juara Kumpulan A dengan sembilan mata.
Kemaraan La Albiceleste ke suku akhir diiringi Kanada yang layak selepas mengikat Chile tanpa jaringan dalam satu lagi aksi Kumpulan A. Manakala Peru menamatkan kempen Copa America 2024 tanpa sebarang kemenangan.
Impak dua gol yang dibawa Martinez untuk Argentina memastikan beliau dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Beliau menerima markah 8.0, 0.2 mata di hadapan Di Maria.
La Albiceleste kini menanti naib juara Kumpulan B sebagai lawan mereka di peringkat suku akhir. Perlawanan itu bakal berlangsung pada pagi 5 Julai ini di Stadium NRG, Houston, Texas.