Uruguay menjadi pasukan terakhir mendapat tiket separuh akhir Copa America 2024 apabila menewaskan Brazil dalam aksi suku akhir di Stadium Allegiant, Paradise, Nevada.
Kedua-dua pasukan beraspirasi merampas gelaran juara dengan mara ke separuh akhir. Kali terakhir Brazil dan Uruguay masing-masing bergelar juara Copa America ialah tahun 2019 dan 2011.
Penyerang Liverpool, Darwin Nunez diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan La Celeste. Sementara Danilo pula mengetuai cabaran Brazil.
Separuh masa pertama menyaksikan Selecao berusaha mendapatkan kelebihan gol awal. Pemain sayap Barcelona, Raphinha hampir meletakkan Brazil di hadapan pada minit ke-13 tetapi percubaannya dihalang pemain Uruguay.
Perlawanan kemudiannya panas apabila kedua-dua pasukan bertelagah susulan kekasaran yang dilakukan Ronald Araujo ke atas Endrick pada minit ke-16. Keadaan ini memaksa pengadil Argentina, Dario Herrera menenangkan semua pemain yang terlibat.
Pemain tengah PSG, Manuel Ugarte hampir mencemaskan barisan pertahanan Brazil dengan melepaskan rembatan ke arah gawang mereka pada minit ke-17 tetapi tersasar.
La Celeste kemudiannya ditimpa malang apabila Araujo terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-32. Situasi ini mendorong pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa memasukkan Jose Maria Gimenez sebagai pengganti.
Brazil dan Uruguay saling mengasak mendapatkan gol. Malangnya, ketumpulan penyudah memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan terus mengasak untuk mendapatkan kelebihan gol.
Maximiliano Araujo terlepas peluang meletakkan Uruguay di hadapan apabila rembatannya pada minit ke-53 tidak mengenai sasaran. Federico Valverde turut hampa apabila percubaannya pada minit ke-62 melambung tinggi.
La Celeste ditimpa malang apabila Nahitan Nandez diperintah keluar padang pada minit ke-74. Ini selepas pegawai sistem bantuan video pengadil (VAR) mengesan terjahan keras yang dilakukannya ke atas pemain Brazil.
Keadaan ini mendorong Selecao memanfaatkan kelebihan 11 pemain untuk meningkatkan tekanan ke atas Uruguay. Malangnya, tiada jaringan yang dapat dihasilkan dan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan.
Keadaan ini menyebabkan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan pemenang. La Celeste ceria apabila penjaga gol, Sergio Rochet berjaya menafikan dua sepakan penalti Brazil.
Dan itu sudah cukup buat Uruguay menewaskan Selecao 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti. Jasa Rochet kepada La Celeste diiktiraf Sofascore yang memilihnya sebagai pemain terbaik perlawanan.
Selepas ini, Uruguay bakal berdepan Colombia di peringkat separuh akhir di Stadium Bank of America, Charlotte, North Carolina pada pagi 11 Julai ini.