Hari bahagia Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodríguez mungkin sudah semakin dekat apabila pasangan itu dilaporkan bakal melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini iaitu pada hari esok di Portugal, selepas beberapa petunjuk mencetuskan spekulasi mengenai majlis bersejarah tersebut.
Kisah cinta Ronaldo dan Georgina bermula pada tahun 2016 apabila kedua-duanya bertemu ketika Georgina bekerja di sebuah kedai Gucci di Madrid, sebelum hubungan mereka berkembang menjadi salah satu kisah cinta paling dikenali dalam dunia sukan dan hiburan.
Selepas menjalinkan hubungan selama beberapa tahun, Ronaldo akhirnya melamar Georgina pada Ogos tahun lalu dengan sebentuk cincin berlian besar, malah Georgina turut berkongsi gambar cincin tersebut dengan kapsyen “Saya setuju” sebagai tanda menerima lamaran itu.
Ronaldo sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Georgina selepas Piala Dunia, sambil menyifatkan wanita berusia 32 tahun itu sebagai insan yang paling dicintainya dan individu yang mahu dibawanya ke fasa kehidupan seterusnya.
Hubungan mereka turut dikurniakan cahaya mata apabila Georgina menjadi ibu kepada tiga daripada enam anak Ronaldo, selain sentiasa berada di sisi bintang Portugal itu dalam perjalanan kariernya di peringkat tertinggi.
Spekulasi mengenai perkahwinan mereka semakin hangat selepas Ronaldo dan Georgina dilihat memakai cincin berlian besar ketika menaiki kapal layar di Mallorca, dengan cincin Ronaldo dikatakan menyerupai cincin yang pernah diberikannya kepada Georgina.
Menurut laporan media tempatan, majlis tersebut dikatakan bakal berlangsung di lokasi terkenal Quinta da Regaleira di Sintra, Portugal, dengan beberapa nama besar dunia bola sepak, muzik dan hiburan dikatakan bakal menjadi tetamu jemputan.
Antara nama yang dikaitkan bakal hadir termasuk Piers Morgan, Rio Ferdinand, Jennifer Lopez, Drake, Rihanna, Van Diesel, Khabib Nurmagomedov, IShowSpeed, Kylian Mbappé dan Vinícius Júnior, namun senarai tersebut masih belum disahkan secara rasmi.
Sehingga kini, tiada sebarang makluman rasmi daripada Cristiano Ronaldo mahupun Georgina Rodríguez mengenai perkahwinan mereka, sekali gus menyebabkan laporan mengenai majlis pada Sabtu ini masih kekal sebagai spekulasi.