Legenda Manchester United, Cristiano Ronaldo memecahkan rekod baru YouTube selepas melancarkan saluran rasmi miliknya baru-baru ini.
Talksport melaporkan usaha terbarunya yang dilancarkan pada 21 Ogos lalu menyaksikan lebih sejuta orang mengikuti akaun berkenaan dalam tempoh kurang 90 minit. Dan berdasarkan semakan terkini, saluran YouTube Ronaldo kini memiliki lebih lapan juta pengikut.
Saluran YouTube ini dilancarkan bertujuan memberi peluang kepada peminat mengetahui lebih mendalam tentang sisi peribadi legenda Portugal itu.
Ini termasuk pendedahan secara berkias yang dibuat Ronaldo bahawa beliau dan pasangannya, Georgina Rodriguez sudah melangsungkan perkahwinan.
Dalam satu video yang lain, penyerang Al-Nassr itu turut menyatakan pilihannya bila ditanya tentang sukan dan atlet sukan berbeza. Misalnya, bila diminta memilih antara tenis dan golf, Ronaldo memilih tenis.
Saluran YouTube ini secara tidak langsung menunjukkan populariti penyerang Portugal itu masih lagi membara meskipun Ronaldo kini berusia 39 tahun.
Beliau memiliki 112.5 juta pengikut di platform X, 170 juta di Facebook dan 636 juta lagi di platform Instagram.
Berita ini sedikit sebanyak menggembirakan Ronaldo selepas Al-Nassr tewas kepada Al-Hilal di pentas final Saudi Super Cup 2024 baru-baru ini.
Bekas penyerang The Red Devils itu kini fokus membantu Al-Alami membuka tirai Saudi Pro League (SPL) musim 2024/25. Mereka berdepan cabaran Al-Raed.