Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo mengakui kecewa bila ada pemain yang menolak peluang mewakili skuad kebangsaan negara itu.
Luahan penyerang berusia 39 tahun itu dibuat dalam majlis anugerah Quinas De Ouro anjuran Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) pada 11 November lalu.
Legenda Manchester United itu menerima anugerah Platinum Quinas bagi mengiktiraf jasanya yang mempromosikan kecemerlangan bola sepak Portugal.
Semasa menerima anugerah berkenaan, Ronaldo menyifatkan beraksi untuk A Selecao merupakan satu penghormatan bagi mana-mana pemain. Atas sebab itu, beliau merasa kecewa bila ada pemain yang enggan beraksi untuk skuad berkenaan.
“Bila saya menyertai skuad kebangsaan pada usia 18 tahun, impian saya ialah memenangi penampilan antarabangsa pertama saya. Saya mencapai 25, 50 (penampilan) dan (terfikir) mengapa tidak 100 (penampilan)?
“Dan kenapa tidak 150 atau 200? Ia satu penghormatan yang besar. Walaupun selepas memenangi banyak trofi, tiada perasaan yang lebih baik daripada bermain untuk skuad kebangsaan.
“Itu sebab saya kecewa dengan sesetengah pemain yang enggan mewakili Portugal. Nikmati (masa bersama) skuad kebangsaan, ia akan berlalu pantas,” katanya seperti yang dilaporkan Record.
Ronaldo kini merekodkan 216 penampilan antarabangsa dan 133 gol bersama A Selecao. Rekod ini dijangka berubah apabila Portugal beraksi menentang Poland pada awal pagi 16 November dan Croatia (awal pagi 19 November).
Ronaldo juga berharap dapat menambah jumlah golnya pada ketika ini. Ini kerana seandainya beliau gagal menjaringkan 1,000 gol, bekas penyerang Real Madrid itu berharap rekod lebih 900 golnya sudah cukup untuk menjadi penjaring terbanyak bola sepak sepanjang zaman.