Pemain sayap baharu Penang FC, Danilo Sipovac mengakui cuaca memberi cabaran kepada beliau beradaptasi di Malaysia.
Pandangan itu dilontarkan pemain berusia 25 tahun itu apabila ditanya tentang cabaran menyesuaikan diri bersama Sang Harimau Kumbang.
Sipovac menjadi antara tonggak import baharu Penang untuk musim 2025/26. Selain beliau, Penang turut merekrut Bruno Suzuki, Tchetche Kipre, Stefano Brundo dan Thiago Oliveira Fernandes.
Meskipun berdepan cabaran cuaca panas, pemain sayap Bosnia-Herzegovina itu tidak berdepan masalah menyesuaikan diri bersama Sang Harimau Kumbang.
“(Cabaran) cuaca sangat sukar kerana ia sangat panas berbanding di negara saya. Tetapi bola sepak (di sini) sangat bagus,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Sipovac pernah beraksi untuk BSK Banja Luka, FK Bokelj, FC Koper, FK Krupa, Sloga Meridian, Zrinjski Mostar dan Zvizjeda 09. Ini kali pertama anak jati Banja Luka itu beraksi di Asia.
Penang membuka kempen pra-musim dengan kemenangan apabila membelasah Bintong FC 4-0 dalam aksi persahabatan tertutup.