“Dahlah Rugi, Kalah Pula Tu” – CEO Perak
MakanBola
Perak Football Club

Baru-baru ini telah tular video pergaduhan di antara sekumpulan penyokong Perak FC dan Selangor FC di tempat duduk stadium. Kumpulan penyokong Perak tersebut difahamkan adalah kumpulan ‘casual’ yang sengaja ingin menimbulkan pergaduhan.

Insiden tersebut telah menjadi perhatian ramai termasuk telah tular ke negara luar. Selain ianya memalukan pasukan Perak, ianya juga menimbulkan imej yang buruk kepada rakyat negeri Perak secara umumnya.

CEO Perak, Bobie Farid Shamsuddin telah meluahkan kekecewaan atas apa yang berlaku. Pihak pengurusan sudah melakukan yang termampu termasuk menyediakan pegawai-pegawai keselamatan yang ramai agar dapat menangani masalah sebegini, namun kumpulan ‘casual’ melebihi jumlah pegawai keselamatan yang bertugas.

“Sebelum perlawanan, kami telah berusaha untuk memastikan pekara yang sudah dijangka berlaku namun bilangan pihak casual menjangkau jumlah polis yang bertugas. 200 anggota disediakan dan juga pihak FRU menjalankan tugas mereka dengan agak baik,” luah Bobie di laman Facebook, TBG Super Fan.

Kos untuk melalui satu perlawanan itu bukanlah amaun yang kecil. Bobie mendedahkan bahawa untuk aksi bertemu Selangor kelmarin, kos yang dibelanjakan hampir RM60 ribu termasuk bayaran sewaan stadium.

“Semalam semua kaunter tiket dibuka, marshal semaksima mungkin kerana menjangkakan kehadiran yang ramai dan secara keseluruhan kami membelanjakan sekitar 50 ke 60 ribu ringgit termasuk sewa venue. Dah la rugi, kalah pula tu. Kena kecam sampai ke Vietnam gara gara pihak Casual Perak,” jelas Bobie lagi.

Rentetan dari insiden tersebut, Bobie mohon kepada penyokong Perak agar memberikan foto-foto pelaku yang terlibat dalam usaha membanteras golongan ‘casual’ ini daripada terus berleluasa pada masa akan datang.