Dani Bolt Bakal Ikut Kevin Medina Ke JDT?
MakanBola
FCQ/JST

Seorang lagi pemain FC Qarabag dilaporkan bakal mengikut jejak Kevin Medina beraksi untuk Johor Darul Ta’zim (JDT).

Wartawan sukan Daily Sabah, Fuad Alakbarov melaporkan pemain pertahanan Brazil, Dani Bolt bakal berhijrah ke selatan tanah air dan menyertai JDT.

“Pemain pertahanan Brazil, Dani Bolt bakal meninggalkan Qarabag untuk kelab Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya di X.

Berita tersebut antara kompilasi khabar angin perpindahan yang dikumpul Alakbarov membabitkan kelab-kelab Azerbaijan termasuk Qarabag.

Sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan, Bolt bakal bergandingan dengan Medina buat kali kedua. Kedua-duanya pernah beraksi bersama di Qarabag selama semusim pada musim 2025/26.

Medina kemudiannya memilih berkelana ke Malaysia dan menyertai JDT sebagai ejen bebas dalam tetingkap perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga M) awal musim ini. Beliau sudah merekodkan dua penampilan liga dan satu gol setakat ini.

Sekiranya Bolt sah menyertai JDT, pemain Brazil itu bakal memberi pilihan tambahan buat jurulatih Sepanyol, Xisco Munoz. Bekas pemain Torreense itu mampu beraksi sebagai bek kanan, bek kiri atau sayap kanan jika diperlukan.

Qarabag sudah mengambil langkah memperkuatkan pasukan seandainya Bolt meninggalkan pasukan. Pasukan itu sudah merekrut bekas pemain Birmingham City, Reda Khadra dan pemain sayap Nigeria, Taofeek Ismaheel.