Pemain baharu Terengganu FC, Danial Amier Norhisham antara sembilan pemain yang diletakkan dalam senarai bersedia pemain Harimau Malaya.
Ini berdasarkan senarai yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di laman sesawang rasmi badan induk itu.
Selain Danial Amier, turut tersenarai rakan sepasukan dan pemain sayap, Akhyar Rashid. Turut tersenarai Samuel Somerville dan Tommy Mawat Bada (DPMM FC), Adam Nor Azlin (Kuala Lumpur City FC (KL City FC)) dan Ahmad Aysar Hadi Sapri (Johor Darul Ta’zim (JDT) II.
Haqimi Azim Rosli, Fayadh Zulkifli Amin dan Fadzrul Danel Nizam melengkapkan senarai pemain bersedia Harimau Malaya.
Mereka diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya ada pemain dari senarai 26 pemain yang dipanggil jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menarik diri atas sebab seperti kecederaan.
Skuad kali ini menyaksikan gabungan pemain muda dan berpengalaman dipanggil bekas jurulatih Police Tero itu. Cheng Hoe turut memanggil tiga pemain yang berpangkalan di luar negara termasuk Richard Chin dan Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Skuad negara akan mula menjalani latihan pusat bermula pada 15 Julai ini. Harimau Malaya akan membuka kempen Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup dengan menentang Myanmar pada 25 Julai.