Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyeru kepulangan 3 pemain Malaysia yang berkelana ke luar negara bagi menghadapi ASEAN Hyundai Cup 2026.
Senarai panggilan ke kem latihan pusat Harimau Malaya telah dikeluarkan pada Sabtu yang menyaksikan seramai 26 pemain telah pun dipanggil bagi melakukan persiapan utama menghadapi kejohanan ASEAN Hyundai Cup 2026.
Daripada senarai 26 pemain itu, 3 pemain yang ketika ini sedang berkelana di luar negara telah mempamerkan persembahan memukau hingga khidmat mereka telah diseru oleh pengendali interima Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
Tumpuan terarah kepada nama Wan Kuzain yang kini beraksi di Amerika Syarikat bersama Sporting JAX dan khidmatnya akhirnya dipanggil bagi menggalas cabaran Malaysia di kejohanan ASEAN Hyundai Cup ini nanti.
Selain itu, kelibat Richard Chin turut kembali di dalam senarai panggilan kebangsaan setelah pemain sayap lincah Ross County di liga Scotland ini mengalami kecederaan ketika tugasan antarabangsa pada bulan Mac yang lalu.
Nama penyerang tinggi lampai, Hadi Fayyadh Abdul Razak turut mendapat tumpuan Tan Cheng Hoe setelah pemain berusia 26 tahun itu mengambil keputusan untuk berkelana ke Liga Jepun pada musim ini dengan menyertai Vencedor Mie United Club.
Sementara dua pemain naturalisasi Malaysia yang beraksi di luar negara musim lalu iaitu Endrick Dos Santos dan Sergio Aguero turut dipanggil ketika mana status kelab terkini mereka akan diketahui tidak lama lagi.
Skuad negara dijadualkan memulakan sesi latihan pada minggu hadapan sebelum aksi pembukaan ASEAN Hyundai Cup 2026 bertemu Myanmar pada 25 Julai hadapan di tempat lawan.