Pemain tengah Kuching City FC, Danial Amier Norhisham berharap dapat kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Pemain tengah berusia 27 tahun itu merupakan antara rekrut terbaru The Cats yang tiba secara pinjaman semusim daripada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Selepas sebelum ini dibelenggu masalah kecederaan, Danial dilihat mula menemui sentuhan dalam aksi pembukaan Liga Super antara KL City dan Kuching City.
Bergandingan bersama kapten Alif Hassan, bekas pemain Felda United itu membantu mengawal jentera tengah The Cats dan merencana serangan ke atas The City Boys.
Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin kemudiannya mengeluarkan Danial dan memasukkan Amir Amri Salleh sebagai pemain gantian pada minit ke-86.
Dalam temubual pasca-perlawanan bersama wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman untuk Nadi Arena, beliau mengakui gembira dengan persembahannya semalam.
Dan Danial berharap ini dapat menjadi asas buat dirinya untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Alhamdulillah, sangat puas hati sebab saya pun tak nak letakkan sebarang tekanan ke atas diri sendiri. Hanya nak nikmati bola sepak dan dapatkan kembali sentuhan.
“Dan dapatkan kembali momentum perlahan-lahan untuk persembahan (di atas padang) macam dahulu.
“Sudah tentu Boy (panggilan mesra Danial) sebagai pemain dan pernah bersama skuad kebangsaan sebelum ini, itu antara sasaran peribadi (kembali) bersama skuad kebangsaan.
“Memang saya nak fokus bersama Kuching City, untuk tolong pasukan dan bagi yang terbaik untuk tolong Kuching City,” katanya.
Khidmat Danial dijangka ditagih Aidil untuk aksi liga seterusnya antara The Cats dengan Sri Pahang FC pada 19 Mei ini.