Pemain pertahanan kebangsaan, Daniel Ting menzahirkan sokongan kepada Harimau Malaya dalam aksi ketiga Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menentang Thailand.
Meskipun terikat dengan komitmen pramusim bersama Ratchaburi FC, pemain berusia 34 tahun itu tetap hadir ke Stadium Rajamangala untuk menonton aksi berkenaan pada 1 Ogos lalu.
Malah, Daniel turut memuat naik gambar Stadium Rajamangala semasa perlawanan antara kedua-dua pasukan berlangsung di Instagram Story. Tangkap layar gambar itu turut dikongsikan Harimau Abroad.
Lebih menarik ialah jarak perjalanan yang ditempuh Daniel untuk menonton perlawanan tersebut. Bekas editor Astro Arena, Lee Seng Foo mengira jarak perjalanan dari Ratchaburi ke Bangkok ialah 140 kilometer dengan tempoh perjalanan sebanyak dua jam.
Hal itu membuatkan Seng Foo kagum dengan komitmen Daniel untuk menyokong Harimau Malaya. “Dan lelaki yang baik,” katanya di X.
Malaysia memberi cabaran hebat kepada Thailand sebelum tewas 2-0 di Stadium Rajamangala. Yotsakorn Burapha dan Teerasak Poeiphimai masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Kemenangan itu membuka jalan kepada anak buah Anthony Hudson menerajui Kumpulan B dengan enam mata. Meskipun berkongsi mata sama, Malaysia jatuh ke tempat kedua kerana telah mengharungi tiga perlawanan.
Anak buah Tan Cheng Hoe perlu menang ke atas Filipina dalam aksi terakhir kumpulan pada 8 Ogos ini jika ingin layak ke separuh akhir.